Nota

MODUL TUGASAN SEJARAH KERTAS 3

TEMA UMUM:          Kemunculan dan Perkembangan Nasionalisme
  Sehingga Perang Dunia Kedua.


Nasionalisme di Malaysia berakar umbi daripada gerakan penentangan pemimpin tempatan terhadap campur tangan British dalam urusan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.





MODUL TUGASAN KERTAS 3 (1249/3) SEJARAH SPM 2015

Maksud nasionalisme   
            Nasionalisme bermaksud perasaan cinta akan bangsa dan negara yang membawa kepada gerakan membebaskan tanah air. Nasionalisme tidak terhad kepada pembebasan kuasa politik sahaja tetapi juga pembebasan daripada cengkaman ekonomi dan kebudayaan asing.


Latar belakang  nasionalisme
      Gerakan nasionalisme merupakan usaha masyarakat tempatan menentang  apa sahaja bentuk tekanan atau penjajahan terhadap mereka oleh kuasa luar. Penentangan ini didorong oleh hasrat untuk membebaskan negara mereka daripada kuasa penjajah. Di Malaysia, penentangan terhadap British telah dilakukan oleh pemimpin dan rakyat tempatan sejak abad ke-19. Gerakan nasionalisme secara menyeluruh pula telah bermula pada awal abad ke-20.


Latar belakang  penentangan
Gerakan pemimpin tempatan ini telah berlaku pada awal kedatangan British ke Malaysia. Gerakan ini merupakan reaksi spontan masyarakat tempatan untuk menjaga kepentingan mereka daripada dicerobohi dan dikuasai oleh orang luar.  Antara tokoh tempatan yang bangkit ialah Penghulu Dol Said, Dato’ Maharaja Lela, Tok Janggut, Rentap dan Mat Salleh.


Faktor atau sebab-sebab kebangkitan pemimpin tempatan menentang British.

Dasar penaklukan British.
Dasar penaklukan British adalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan politiknya di Tanah Melayu. Oleh itu penguasaan politik menjadi luas dan penduduk akan terikat dengan perintah dan peraturannya. Keadaan ini akan memudahkan British berkuasa tanpa halangan daripada banyak pihak. Pembesar berasa tergugat dengan dasar peluasan kuasa British seperti  Naning dipaksa menjadi jajahan takluk British dan  dipaksa membayar ufti.

Eksploitasi terhadap ekonomi tempatan.
British berhasrat menguasai ekonomi tempatan untuk kepentingan mereka sendiri dengan membuat perjanjian dengan pemimpin tempatan.  Perjanjian ini bertujuan untuk membenarkan saudagar Negeri-Negeri Selat menjalankan aktiviti perlombongan dan perdagangan bijih timah. Keadaan ini  menyebabkan kemarahan penduduk tempatan.

Pelaksanaan pentadbiran British terhadap masyarakat tempatan.
British telah melaksanakan sistem pentadbiran Barat dan juga memaksa penduduk tempatan supaya mengguna pakai sistem tersebut.  British memperkenalkan pelbagai jenis cukai, undang-undang dan peraturan tanah yang membebankan penduduk tempatan. Keadaan ini telah menyebabkan  penduduk menentang peraturan yang dikenakan seperti di Terengganu iaitu setiap tanah yang dibuka mesti mendapat izin dan dikenakan cukai oleh British. Peraturan ini telah bercanggah dengan amalan tradisi mereka sebelum ini.

Campur Tangan British dalam adat resam tempatan
British juga mencampuri urusan dan adat resam tempatan orang Melayu serta memaksa mereka menerima nilai-nilai British yang bertentangan dengan budaya . Ini telah membangkitkan kemarahan penduduk tempatan,  contohnya J.W.W. Birch yang memaksa penduduk tempatan menerima nilai-nilai British yang  berbeza dengan budaya masyarakat tempatan. Misalnya di Perak J.W.W Birch telah campur tangan dalam amalan menggunakan orang suruhan.

Pembesar tempatan kehilangan kuasa dan pengaruh.
            Pemimpin tempatan kehilangan kuasa dan pengaruh pentadbiran di kawasan mereka akibat daripada penjajahan British. Perlantikan pembesar tempatan oleh sultan telah memberi  kuasa kepada mereka untuk menjaga hal ehwal daerahnya,  seperti soal pentadbiran, perundangan, ekonomi dan sosial. Penjajahan British terhadap daerah mereka menyebabkan pemimpin tempatan kehilangan kuasa. Keadaan ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin tempatan yang mendorong  mereka menentang British.

Kesulitan / Kesusahan penduduk tempatan
Perubahan yang dibuat oleh British telah membebankan penduduk tempatan dan telah menyebabkan rakyat tidak bebas dan menentang British . Contohnya beban cukai yang menyusahkan dan layanan kasar pegawai British

Faktor pemangkin nasionalisme sebelum Perang Dunia Kedua

Pengenalan sistem politik Barat
            British telah meletakkan seorang Residen yang mengambil alih pentadbiran negeri daripada pembesar tempatan.  Pembesar tempatan diberikan pencen dan digantikan oleh pegawai British. Kesan daripada  perubahan ini telah menjatuhkan maruah orang tempatan     dan mencabar sistem pentadbiran tempatan dan amalan tradisi. Keadaan ini telah membangkitkan kebencian penduduk terhadap British.

  
Perkembangan sistem pendidikan
            Sistem pendidikan telah melahirkan golongan intelek Melayu yang mampu berfikir tentang kemajuan bangsa dan menggunakan idea baru untuk memajukan diri dan menolak penjajahan British.  Mereka menyedari perlunya sumbangan tenaga dan fikiran mereka untuk menyedarkan bangsa Melayu. 

Dasar British dalam sistem pentadbiran
Dasar British dalam sistem pentadbiran telah menggalakkan sesiapa sahaja datang ke Tanah Melayu untuk melabur, berniaga, berdagang, bekerja dan menetap di Tanah Melayu. Keadaan ini telah menyebabkan ramai orang asing telah datang ke Tanah Melayu dan menetap di sini.  Kemasukan orang asing yang berterusan telah meningkatkan jumlah imigran di Tanah Melayu. Keadaan ini menimbulkan persaingan kepada penduduk tempatan kerana orang asing menguasai bidang perlombongan, perladangan getah dan perniagaan.  Orang Melayu kekal dengan pertanian padi yang tidak dimajukan oleh British. British membuka bandar baru sebagai pusat pentadbiran dan orang Melayu tetap tinggal di kampung-kampung dengan segala kekurangan. Kemajuan ekonomi seperti perniagaan prasarana, elektrik,  perkhidmatan pos, telefon, sekolah, hospital telah meningkatkan taraf hidup di bandar.  Keadaan ini telah menjarakkan lagi jurang taraf hidup antara orang tempatan di luar bandar dengan imigran dan penduduk lain  di bandar. Dasar British telah memundurkan lagi taraf hidup orang Melayu. Hal ini disedari oleh golongan  intelek Melayu dan menjadikannya sebagai isu gerakan nasionalisme.

Pendudukan Jepun
Pendudukan Jepun juga menjadi pemangkin gerakan nasionalisme. Konsep Kawasan Kesemakmuran Asia telah menekankan kebebasan negara-negara Asia untuk menentukan kemajuan masing-masing dan meningkatkan persaudaraan dalam kalangan negara tersebut. Jepun telah menggalakkan orang tempatan bekerjasama dengannya dan berjanji untuk memerdekakan Tanah Melayu.  Kesengsaraan hidup akibat kekurangan makanan, ubat-ubatan serta kekejaman pentadbiran Jepun menyebabkan penduduk Tanah Melayu membenci penjajahan oleh kuasa Barat atau Timur. Semua penjajah tetap zalim dan menekan kehidupan orang tempatan. Kesannya, apabila British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946 ianya telah ditentang oleh orang Melayu sebab mereka tidak mahu dijajah oleh sesiapa pun.

Penguasaan Parti Komunis Malaya (PKM)
Penguasaan Parti Komunis Malaya selama 14 hari pada tahun 1945 telah membangkitkan semangat menentang penjajah. PKM menguasai balai-balai polis dan memerintah dengan kejam.  Mereka membunuh dan menangkap sesiapa sahaja yang dianggap penyokong Jepun dan gerakan ini mencetuskan konflik perkauman.  Banyak orang Melayu terbunuh, rumah dibakar oleh anggota PKM. Serangan mereka telah dibalas oleh orang Melayu di Perak, Johor , Negeri Sembilan dan Pahang .

Kemunculan mesin cetak
Kemunculan mesin cetak telah memberikan kesan kepada penyebaran ilmu pengetahuan dan mendorong kepada penentangan terhadap British melalui buku, akhbar, majalah, kitab agama dan lain-lain. Justeru, idea menentang penjajah dapat disebarkan.

Gerakan Pan-Islamisme Sedunia
Gerakan Pan-Islamisme Sedunia memberi kesan terhadap kesedaran semangat kebangsaan. Gerakan ini merupakan gerakan intelektual Islam seluruh dunia untuk membangkitkan pemahaman yang lebih progresif terhadap Islam.  Gerakan ini bertujuan untuk menentang penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam.  Gerakan ini didokong oleh pelajar Islam dari seluruh negara. Gerakan reformis Islam oleh Syed Muhammad Abduh, pensyarah di Universiti al-Azhar, Mesir telah tersebar luas.  Dalam tulisannya, beliau memberikan kupasan bahawa Islam ialah cara hidup yang menekankan kepentingan dunia dan akhirat di samping Islam juga mendorong umatnya menuju kejayaan. Tulisannya disebarkan dalam majalah al-Manar. Gerakan Wahabi yang berlaku di Arab Saudi juga mendesak matlamat yang sama.

Kesedaran Politik Serantau
Kesedaran politik serantau seperti di Indonesia yang rapat dengan Tanah Melayu dari segi geografi dan budaya telah mempengaruhi gerakan nasionalisme di Tanah Melayu.   Kesedaran politik dan pendidikan Indonesia yang lebih matang telah melahirkan ramai golongan intelektual. Penulis yang hebat telah menghasilkan karya yang menjadi bacaan masyarakat di Tanah Melayu. Idea kebebasan politik dan penentangan terhadap penjajahan telah tersebar luas dan dihayati oleh penduduk tempatan. Kemasukan orang Indonesia ke Tanah Melayu memudahkan penerimaan unsur kegiatan nasionalisme Indonesia di Tanah Melayu.

Penentangan di Tanah Melayu

Penentangan oleh Dol Said di Naning
Penentangan oleh Dol Said di Naning adalah yang paling awal berlaku di Tanah Melayu, iaitu antara tahun 1831-1833.  Beliau menentang British kerana tidak bersetuju dengan tindakan British meletakkan Naning sebagai sebahagian wilayah mereka yang menjadi takluknya.  Penghulu Dol Said mengingkari arahan British supaya Naning menghantar satu per sepuluh hasilnya sebagai ufti kepada negeri Melaka.  Akibatnya, British telah menghantar tenteranya untuk menakluk Naning pada tahun 1831 dan pasukan British ini telah ditentang oleh Penghulu Dol Said.  Beliau yang mendapat bantuan ketenteraan daripada Yam Tuan Ali dari Rembau, Syed Shaban, Penghulu Remai dan Rechat, Dato’ Kelana Sungai Ujong serta Penghulu Gemencheh telah berjaya mengalahkan 150 orang tentera British pimpinan Kapten Wyllie yang berusaha untuk menawan Taboh yang terletak dalam daerah Naning.  Pada akhir tahun 1832, British dengan 1200 orang tentera sekali lagi menyerang Naning.  Pada kali ini Penghulu Dol Said dan pengikut-pengikutnya tidak dibantu oleh sesiapa pun.  Pasukan British berjaya mengalahkan tentera Penghulu Dol Said.  Penghulu Dol Said terpaksa menyerah diri dan dibawa ke Melaka.

Penentangan Dato’ Maharaja Lela di Perak
Di Perak, penguasaan British yang didalangi oleh J.W.W. Birch telah ditentang oleh orang tempatan yang dipimpin oleh Dato’ Maharaja Lela.   Penentangan itu berlaku secara bersatu oleh semua pembesar dan sultan.  Penentangan penduduk tempatan di Perak terhadap British adalah kerana Residen memungkiri fungsinya sebagai penasihat seperti yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor 1874.  Para pembesar menolak sistem cukai yang menghapuskan hak mereka. Para pembesar menolak campur tangan British dalam adat resam dan hal ehwal tempatan.  J.W.W Birch tidak menghormati sistem sosial tempatan dan tidak tahu berbahasa Melayu.  Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh Sultan Abdullah dan Sir Andrew Clarke pada 20 Januari 1874.  Bantahan terbuka oleh Sultan Abdullah, Dato’ Maharaja Lela dan pembesar Melayu Perak yang lain terhadap campur tangan British. Dato’ Maharaja Lela membuat kubu di Pasir Salak pada Februari 1875.  Mesyuarat antara Dato’ Maharaja Lela dengan pembesar-pembesar Melayu di Durian Sebatang menentang undang-undang British.  Dato’ Maharaja Lela bersetuju mengambil tanggungjawab membunuh J.W.W. Birch selepas bermesyuarat dengan Sultan Abdullah dan para pembesar lain di Belanja. Sultan Abdullah memberitahu Sultan Ismail tentang rancangan tersebut pada 12 September 1875.  Walaupun Dato’ Maharaja Lela melakukan penentangan terhadap British, namun Sultan Abdullah terpaksa menyerahkan Perak kepada British, namun Sultan Abdullah terpaksa menyerahkan Perak kepada British. Mat Arshad, orang suruhan British, dibunuh oleh penduduk tempatan semasa menampal poster cukai di Pasir Salak pada 31 Oktober 1875.  Pembunuhan J.W.W Birch oleh Seputum, Pandak Lam, dan lain-lain lagi atas arahan Dato’ Maharaja Lela di Sungai Perak, Pasir Salak pada 2 November 1875.  Pihak British dengan 500 orang tenteranya melancarkan serangan terhadap Pasir Salak dan kawasan-kawasan yang terlibat. Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Sagor melibatkan diri ke Kota Lama pada 13 November 1876.  Perbicaraan diadakan di Matang, Perak. Hakimnya ialah Raja Idris manakala penasihatnya ialah Frank Swettenham. Dato’ Maharaja Lela bersama-sama Dato’ Sagor, Pandak Lam, Seputum dan Pandak Indut dijatuhi hukuman gantung. Sultan Ismail dibuang negeri ke Johor. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Syahbandar dan Laksamana pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.  Dengan itu, Perak dapat dikuasai sepenuhnya oleh British pada 20 November 1877.

Penentangan Yam Tuan Antah dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong di Negeri Sembilan
Di Negeri Sembilan, penentangan oleh pembesar terhadap penguasaan British telah dilakukan oleh Yam Tuan Antah Sri Menanti dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong, iaitu Abdullah Tunggal.  Kedua-duanya telah menentang kemasukan British di Sungai Ujong.  Dato’ Syahbandar Sungai Ujong enggan menandatangani perjanjian dengan British pada 21 April 1874.  Dato’ Syahbandar juga menentang Dato’ Kelana Sungai Ujong iaitu Syed Abdul Rahman yang mempelawa British untuk campur tangan dalam pertikaian mereka.  Kedua-dua pemimpin tempatan berebut kawasan sempadan untuk mengenakan cukai kepada pedagang bijih timah dari Negeri-Negeri Selat.  Dengan kerjasama British, Dato’ Kelana Syed berjaya mengalahkan Dato’ Syahbandar  untuk menguasai Sungai Ujong dan Dato’ Syahbandar terpaksa berundur ke Selangor.  Pada November 1874, Dato’ Syahbandar kembali ke Sungai Ujong dan menandatangani perjanjian dengan British.  Dato’ Syahbandar bersetuju meletakkan jawatan dan berhijrah ke Singapura.  Dengan itu, Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman dapat menguasai seluruh Sungai Ujong tetapi tertakluk di bawah penguasaan British.

Penentangan Dato’ Bahaman di Pahang
Di Pahang, pada tahun 1888, beberapa orang pembesar telah bersatu melawan penguasaan British.  Apabila J.P. Rodgers dilantik sebagai Residen Pahang yang pertama, Dato’ Bahaman telah menolak pelaksanaan undang-undang British yang bertentangan dengan adat resam dan sistem politik tempatan seperti sistem kehakiman, pemungutan hasil tanah, sistem cukai dan penubuhan pasukan polis luar.  Ini adalah kerana undang-undang tersebut telah menghakis kuasa Dato’ Bahaman sebagai Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan.  Dato’ Bahaman dan rakan-rakannya seperti Tok Gajah dan Imam Rasul telah bersatu menentang British selama lima tahun. 
            Pada tahun 1890, Dato’ Bahaman menentang pembinaan Balai Polis Lubuk Terua, kawasan pengaruhnya.  Pada tahun 1891, Dato’ Bahaman menyerang British kerana menangkap anak buahnya.  Pada tahun 1892, Dato’ Bahaman menyerang dan menawan semula Lubuk Terua.  Pada tahun 1894, Dato’ Bahaman menyerang dan menguasai Kuala Tembeling dan Jeram Ampai.  Pada tahun 1895, akibat tekanan British, Dato’ Bahaman berundur ke Kelantan.
            Dato’ Bahaman dan rakan-rakannya mendapat perlindungan daripada penduduk dan pembesar Terengganu dan Kelantan.  Dato’ Bahaman menetap di hulu Kelantan manakala Tok Gajah dan keluarganya menetap di Hulu Terengganu.  Pada tahun 1896, Dato’ Bahaman berpindah ke Bangkok dan diberikan perlindungan politik oleh Raja Chulalongkorn.  Beliau menetap di Chieng Mai dan diberikan wang sara hidup sebanyak 1000 baht dan meninggal dunia di sana.

Penentangan Tok Janggut di Kelantan
Di Kelantan, penentangan terhadap penjajahan British berlaku di Pasir Puteh apabila Sistem Penasihat British diperkenalkan pada tahun 1910.  British telah memaksa penduduk tempatan menerima pakai sistem cukai yang diperkenalkan.  Tok Janggut membantah pelaksanaan sistem ini dan enggan membayar cukai.  Bantahannya tidak dilayan oleh Pegawai Daerah Pasir Puteh. Sebaliknya, pihak polis telah diarahkan untuk menangkap Tok Janggut tetapi mereka gagal. Pada tahun 1915, Engku Besar Jeram, Tuan Ahmad, Penghulu Adam, Haji Said, Che Ishak serta rakyat tempatan bersetuju menyerang Pasir Puteh dan mereka berjaya mendudukinya. Sebuah kerajaan telah dibentuk dengan Engku Besar Jeram sebagai Raja, Tok Janggut sebagai Perdana Menteri dan Che Ishak sebagai Pegawai Daerah. Dengan menggunakan nama Sultan Kelantan, British telah membawa masuk pasukan tentera dari Negeri Selat dengan Kapal Perang H.M.S Cadmus yang mendarat di Tumpat. Mereka memulakan serangan pada bulan Mei 1915 di Saring. Serangan British yang tersusun dan penggunaan senjatanya yang lebih moden telah melumpuhkan perjuangan Tok Janggut dan pengikutnya. Tok Janggut malah telah terkorban dalam serangan itu dan mayatnya diarak ke seluruh pekan Kota Bharu sebelum digantung di pasar dalam keadaan kepala ke bawah dan kaki ke atas. Tindakan ini sebagai amaran kepada masyarakat tempatan yang berani menentang British.

Penentangan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu
Di Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan seorang ulama telah menentang British kerana tidak berpuas hati dengan sistem cukai dan undang-undang tanah British yang diperkenalkan kepada orang tempatan.  Pada bulan Julai dan Ogos 1922, Haji Abdul Rahman Limbong mengetuai penduduk kampung membersihkan tanah di Kuala Telemong tanpa menghiraukan peraturan tanah British.  Kemudian, pada bulan Mei 1925, kira-kira 300 orang penduduk kampung telah berkumpul dan membuka tanah milik Tengku Nik Maimunah ibn Sultan Zainal Abidin III.  Tanah itu meliputi kawasan dari Lubuk Batu hingga Kampung Pelam.  Hal ini membimbangkan British, tetapi dengan jasa baik Tengku Nik Maimunah, mereka dapat disuraikan. Kemarahan penduduk tempatan terhadap dasar British menyebabkan mereka melancarkan penentangan bersenjata pada bulan Mei 1928.  Kumpulan yang menyerang bangunan kerajaan di Kuala Berang telah berjaya mendudukinya.  Kumpulan di Kuala Telemong pula telah bersiap sedia menunggu arahan untuk menentang British. 
Dengan menggunakan kuasa dan nama Sultan Terengganu, British telah menghantar tiga orang pembesar yang membawa perintah sultan untuk menawan semula Kuala Berang serta menangkap dan memburu sesiapa sahaja yang menghalangnya.  Cara ini memudahkan British kerana rakyat Melayu tidak akan menderhaka kepada sultan. Sepasukan polis seramai 25 orang telah menyerang Kuala Telemong dan berjaya menumpaskan kebangkitan penduduk tempatan dengan mengorbankan sebelas orang.  Haji Ahman Rahman Limbong pula telah diserang oleh 50 orang polis yang dibawa dari Singapura.  Beliau berjaya ditahan dan dibuang negeri ke Makkah.


Penentangan di Sarawak

Penentangan oleh Linggir
James Brooke yang digelar Raja Putih Sarawak pada tahun 1842 berusaha untuk menguasai beberapa buah daerah pedalaman sehingga menimbulkan bantahan daripada pemimpin tempatan.  Mereka enggan menyerahkan daerah mereka kepada James Brooke dan ini telah menyebabkan James Brooke menyerang daerah-daerah tersebut.  Penentangan oleh Linggir, Rentap dan Syarif Masahor, sama coraknya.  Linggir, iaitu pemimpin kaum Iban di Saribas menentang penaklukan James Brooke pada tahun 1849 dengan menyerang kapal Nemesis dekat Batang Lupar.  Serangan ini merupakan tindak balas terhadap langkah James Brooke dan Kapten Farquhar menghalang pelayaran mereka di Sungai Saribas.  Bagaimanapun, Linggir dan pengikutnya tewas dalam petempuran tersebut

Penentangan oleh Rentap
Rentap, pemimpin Iban, menentang James Brooke pada tahun 1853 kerana bertindak menghapuskan orang Iban di Sungai Skrang yang dianggap sebagai lanun.  Rentap telah menyerang pasukan James Brooke di Kubu Nanga Skrang bagi menghalang kezaliman James Brooke di daerah tersebut.  Rentap dan pengikutnya berjaya mengusir James Brooke tetapi tentera James Brooke telah bertindak balas dengan membakar kampung mereka.  Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Sadok, namun, sekali lagi mereka diserang oleh James Brooke.  Tentera James Brooke berjaya mengalahkan Rentap pada tahun 1861.  Rentap terpaksa berundur ke Ulu Sungai Entabai dan serangannya semakin lemah. 

Penentangan oleh Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur
Penentangan orang Melayu di bawah pimpinan Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur berlaku kerana mereka menolak penguasaan James Brooke di wilayah mereka, iaitu di Sungai Rajang pada tahun 1857.  Hal ini disebabkan mereka kehilangan kuasa memungut cukai dan pengaruh terhadap penduduk tempatan.  James Brooke telah membina sebuah kubu di Kanowit.  Syarif Masahor telah menyerang kubu tersebut.  Beliau dan Datu Patinggi Abdul Gapur kemudian menyerang James Brooke di Kuching.  Bagaimanapun, tentangan mereka gagal.  Syarif Masahor melarikan diri ke Brunei tetapi beliau diserahkan oleh Sultan Brunei kepada British di Singapura.  Datu Patinggi Abdul Gapur melarikan diri ke Betawi tetapi beliau berjaya ditahan oleh Belanda dan diserahkan kepada James Brooke.


  
Penentangan di Sabah

Penentangan Mat Salleh di Sabah
Penentangan terbesar di Sabah telah dilakukan oleh Mat Salleh.  Beliau ialah pemerintah daerah Tambunan dan Sungai Sugut.  Namun, pihak SBUB menduduki kawasan  pengaruh  Mat Salleh, malah mereka turut melaksanakan sistem cukai dan surat perahu.  Pegawai-pegawai SBUB bersikap kasar kepada penduduk tempatan.  Mat Salleh telah ke Sandakan  untuk berbincang dengan SBUB pada tahun 1895, tetapi tidak dilayan.  Sebaliknya, Gabenor Beaufort telah menyerang dan membakar kampungnya.  Mat Salleh terpaksa melarikan diri.  Pada tahun 1897, Mat Salleh dan pengikutnya membuat serangan mengejut terhadap kubu SBUB  di Pulau Gaya.  Ekoran itu, SBUB menawarkan pelan damai kepada Mat Salleh, iaitu menyerahkan Tambunan kepadanya.  Namun, SBUB mungkir janji dan hal ini menyebabkan  Mat Salleh menyerang kubu SBUB.  Serangan ini dibalas oleh pasukan tentera SBUB  dengan menyerang kubu Mat Salleh.  Beliau akhirnya tewas dan meninggal dunia pada 31 Januari 1900.


Bentuk / Cara Perjuangan Nasionalisme
            Nasionalisme di Malaysia dilaksanakan dalam beberapa bentuk seperti berbincang, bermesyuarat membuat bantahan, mengusir penjajah, menyerang, pembesar dan rakyatnya berpakat, mengingkari arahan, enggan membayar cukai.
            Di daerah Naning, Penghulu Dol Said telah mengingkari arahan British untuk menghantar satu per sepuluh hasilnya sebagai ufti kepada negeri Melaka. Selain itu beliau mendapatkan bantuan ketenteraan daripada Yam Tuan Ali dari Rembau, Syed Shaban, Penghulu Remai dan Rechat, Dato’ Kelana Sungai Ujong serta Penghulu Gemencheh.
            Di negeri Perak pula, Dato’ Maharaja Lela telah membuat kubu di Pasir Salak pada Februari 1875.  Mesyuarat juga diadakan antara Dato’ Maharaja Lela dengan pembesar-pembesar Melayu . Beliau telah bersetuju mengambil tanggungjawab membunuh J.W.W. Birch. Penduduk tempatan telah membunuh Mat Arshad seorang suruhan British.  Manakala, Seputum, Pandak Lam, dan lain-lain lagi membunuh J.W.W Birch atas arahan Dato’ Maharaja Lela.
            Di Negeri Sembilan pula, Dato’ Syahbandar Sungai Ujong telah enggan menandatangani perjanjian dengan British. Dato’ Syahbandar menentang Syed Abdul Rahman yang mempelawa British untuk campur tangan dalam pertikaian mereka.  Dato’ Syahbandar lalu kembali ke Sungai Ujong dan menandatangani perjanjian dengan British. Akhirnya, Dato Syahbandar bersetuju meletak jawatan dan berhijrah ke Singapura. 
            Di Kelantan pembesar Tok Janggut telah membantah pelaksanaan sistem ini dan enggan membayar cukai. Beliau juga menyerang Pasir Puteh dan mereka berjaya mendudukinya.
            Di Sarawak pula, pemimpin seperti Linggir telah menyerang kapal Nemesis (James Brooke dan Kapten Farquhar)  dekat Batang Lupar. Rentap pula menyerang pasukan James Brooke di Kubu Nanga Skrang  dan mengusir James Brooke. Pemimpin-pemimpin lain seperti Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu James Brooke di Kanowit. Mereka turut menyerang James Brooke di Kuching. Syarif Masahor melarikan diri ke Brunei, manakala Datu Patinggi Abdul Gapur melarikan diri ke Betawi.
            Di negeri Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong telah mengetuai penduduk kampung untuk membersihkan tanah, lalu membuka tanah milik  Tengku Nik Maimunah.
            Di negeri Sabah pembesar Mat Salleh telah berbincang dengan Gabenor Beaufort di Sandakan tetapi tidak dilayan. Beliau telah menyerang secara mengejut kubu SBUB  di Pulau Gaya. Beliau turut menyerang kubu SBUB  kerana  SBUB mungkir janji  terhadap tawaran pelan damai.
            Di negeri Pahang pula, pembesar Dato Bahaman telah  menolak pelaksanaan undang-undang British. Beliau telah menentang British selama lima tahun dengan cara menentang pembinaan Balai Polis Lubuk Terua. Beliau juga menyerang dan  menawan semula Lubuk Terua, Kuala Tembeling, Jeram Ampai.
            Nasionalisme di Malaysia turut dilaksanakan dalam bentuk menyebarkan idea / fahaman dan menggerakkan persatuan / pertubuhan.
            Gerakan Islah telah menggunakan akhbar dan majalah al-Imam, Neracha, Idaran Zaman, Pengasuh. Gerakan ini turut mengkritik raja dan pembesar. Gerakan ini telah bergerak dengan baik di Negeri-Negeri Selat. Gerakan Islah turut menubuhkan beberapa buah madrasah.
            Kesatuan Melayu Singapura ditubuhkan untuk menjaga kepentingan sosio-ekonomi penduduk Melayu Singapura penduduk. Kesatuan ini telah mendesak British untuk menjaga kebajikan orang Melayu Singapura. Kesatuan ini berjaya memperoleh sebuah kawasan  penempatan khas bagi orang Melayu.
            Persatuan Sahabat Pena Malaya turut ditubuhkan untuk menggalakkan ahlinya berkenal-kenal dan bertukar-tukar pendapat.
            Persatuan Melayu Sarawak pula ditubuhkan untuk mengeratkan perpaduan. Persatuan ini turut menghadiri Kongres Melayu 1940. Mereka turut menggalakkan pendidikan, menjaga budaya dan maruah bangsa, dan turut menegakkan ajaran agama Islam.
            Kesatuan Melayu Muda telah ditubuhkan untuk bekerja dengan Jepun untuk menghalau British. KMM telah menjadi  badan propaganda Jepun dengan membeli Warta Malaya untuk dijadikan alat propaganda anti-British. Mereka turut mengelilingi Tanah Melayu untuk mencari sokongan. Kesatuan ini telah membuka cawangan KMM bagi meluaskan propaganda menentang British. Akhirnya mereka turut menyediakan kader-kader (tentera semut) untuk menentang British.
            Kongres Melayu  telah diadakan pada tahun 1939 dan 1949). Kongres ini telah membincangkan kemundunduran pendidikan, ekonomi dan layanan pilih kasih British kepada anak negeri.
            Akhir sekali, nasionalisme di Malaysia turut dilaksanakan dalam bentuk menggunakan media massa,media cetak yang menyebarkan idea, fahaman selain  menggerakkan persatuan dan pertubuhan.
            Akhbar turut berperanan dalam nasionalisme dengan cara menggunakan bahasa yang bernas, seperti dalam  Warta Malaya. Akhbar telah membangkitkan kesedaran untuk memajukan diri. Selain itu, akhbar membangkitkan semangat bersatu-padu. Akhbar juga mengkritik dasar-dasar British dan membangkitkan persoalan sosial dan pendidikan, ekonomi dan politik.
            Majalah juga berperanan dalam nasionalisme dengan cara memfokuskan persoalan untuk memajukan bangsa. Sebanyak 120 buah majalah telah diterbitkandan antaranya, Majalah Pengasuh. Majalah berperanan dengan cara menyentuh isu kemajuan bangsa dalam pendidikan, ekonomi, bahasa, sastera, politik anti-penjajah.
Novel pula telah membawa mesej-mesej jelas tentang semangat kebangsaan, selain menyuburkan semangat sikap menentang penjajah. Antara karya yang dikarang adalah  Novel Anak Mat Lela Gila.


SOALAN KBAT

FAEDAH / MANFAAT/KEBAIKAN/KEPENTINGAN/KESAN PERJUANGAN NASIONALISME KEPADA PERKEMBANGAN NASIONALISME HARI  INI.
Faedah perjuangan nasionalisme kepada perkembangan nasionalisme hari ini ialah dapat melahirkan semangat cinta akan negara. Hal ini  dapat mewujudkan sikap sanggup berkorban demi negara dalam kalangan rakyat. Contohnya keberanian rakyat dalam mempertahankan negara semasa peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.
Faedah seterusnya ialah dapat melahirkan rakyat  bertanggungjawab yang tidak akan menerima fitnah atau maklumat salah tentang negara. Hal ini dapat memastikan keamanan dan kestabilan politik negara terpelihara.
Selain itu perjuangan nasionalisme juga dapat mempertingkatkan kualiti hidup rakyat apabila negara ditadbir oleh pemimpin dengan baik. Hal ini dapat dilihat dengan penyediaan kemudahan kepada rakyat.
Di samping itu faedah lain ialah dapat menjunjung dan menjaga kesucian agama Islam daripada pengaruh Barat. Kedudukan agama  Islam di negara kita terjamin sebagai agama rasmi negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara .
Kebaikan perjuangan nasionalisme kepada perkembangan hari ini juga ialah semua rakyat dapat menghormati dan mendaulatkan keluhuran perlembagaan Malaysia. Ini akan menjadikan rakyat Malaysia menumpukan  taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.
Malah, faedah lain ialah dapat melahirkan masyarakat yang hidup bersatu padu dan  bersama-sama membangunkan negara, contohnya konsep 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh pemimpin negara.
Selain itu, manfaat yang lain ialah rakyat akan lebih bersemangat dan berdaya saing tinggi untuk memajukan ekonomi negara. Oleh itu taraf hidup rakyat dapat dipertingkatkan dan ini menaikkan imej negara di mata dunia.

Kesan / Implikasi /Akibat penentangan pemimpin tempatan (Berjaya) / Kesan kepada British

Kesan kepada Pemimpin tempatan

Kesan penentangan pemimpin tempatan terhadap British sehingga awal abad ke-20 ialah pemimpin tempatan berjaya mengalahkan tentera British. Contohnya di Naning, Penghulu Dol Said berjaya mengalahkan tentera British dalam serangan pertama. Mereka menggunakan taktik serangan gerila dan menanam ranjau.  Mereka juga mendapatkan kerjasama pemimpin tempatan. Kesannya seramai 150 orang tentera British pimpinan Kapten Wyllie berjaya dikalahkan.  Ini menyebabkan British tidak campur tangan hampir 50 tahun kerana menanggung kerugian.

Di Pahang, Dato Bahaman berjaya menawan Lubuk Terua. Selain itu, beliau juga berjaya menyerang dan menguasai Jeram Ampai dan Kuala Tembeling. Kejayaan mereka ini kerana pembesar seperti Tok Gajah, Dato Bahaman dan Imam Rasul telah bersatu dan bekerjasama melawan British.

Selain itu di Sarawak, Rentap berjaya mengusir James Brooke dari Kubu Nanga Skrang. Brooke mengambil masa yang lama untuk mengalahkan Rentap di Bukit Sadok. James Brooke terpaksa menanggung kerugian yang besar. Penentangan oleh Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur menyebabkan James Brooke terpaksa mendapatkan bantuan British di Singapura dan Belanda untuk menahan mereka.

Di Sabah pula Mat Salleh berjaya memusnahakan  kubu SBUB di Pulau Gaya. SBUB terpaksa menawarkan pelan damai  dan terpaksa berjanji menyerahkan Tambunan kepada Mat Salleh.

Di samping itu di Perak , Dato’ Maharaja Lela berjaya membunuh J.W.W. Birch. Peristiwa ini telah menjadikan British lebih berhati-hati dalam pentadbiran berkaitan budaya atau adat resam masyarakat tempatan.

Manakala di Kelantan, Tok Janggut berjaya menyerang dan menduduki Pasir Puteh dan membentuk kerajaan. Hal ini menyebabkan British terpaksa membawa masuk tentera Negeri-Negeri Selat dan menggunakan nama Sultan untuk menumpaskan penentangan.


Kesan kepada British

Penentangan pemimpin tempatan terhadap British sehingga awal abad ke-20 juga menguntungkan pihak British.  Pihak British telah berjaya mengukuhkan kuasa politik di seperti Naning. Naning terpaksa membayar 1/10 ufti kepada British.

Selain itu dalam aspek ekonomi pihak British telah melaksanakan sistem cukai dan peraturan tanah di negeri-negeri Melayu seperti di Terengganu dan Kelantan. Malah British telah menguasai perlombongan bijih timah di Sungai Ujong negeri Sembilan melalui campur tangan mereka dalam pertikaian pembesar.

Di samping itu, pihak British juga berjaya mengalahkan dan membunuh pemimpin tempatan seperti Tok Janggut dan Dato Maharaja Lela. British akhirnya dapat menakutkan pemimpin dan penduduk tempatan agar tidak berani menentang pentadbiran mereka.
           

Kesan / Implikasi /Akibat penentangan terhadap pemimpin tempatan (Tidak Berjaya)

Kesan penentangan terhadap pemimpin tempatan ialah mereka berjaya dikalahkan  British seperti Penghulu Dol Said.  Ini menyebabkan beliau terpaksa menyerah diri dan dibawa ke Melaka. 

Selain itu, daerah pemimpin tempatan dikuasai seperti daerah Mat Salleh di Tambunan ,Sabah dikuasai oleh SBUB.  Ini menyebabkan beliau kehilangan pengaruh dan jawatan .

Pemimpin tempatan juga diserang seperti Kampung Rentap dibakar James Brooke menyebabkan beliau terpakasa berundur ke Bukit Sadok.

Kesan seterusnya ialah pemimpin tempatan terbunuh dalam pertempuran seperti apa yang berlaku kepada Mat Salleh di Sabah.

Tambahan pula, terdapat pemimpin yang terpaksa melarikan diri seperti Syarif Masahor ke Brunei dan Datu Patinggi Abdul Ghapur ke Betawi.

Kesan penentangan lain  ialah pemimpin telah ditangkap dan digantung sampai mati seperti Tok Janggut .  Begitu juga , Dato Maharaja Lela yang  dihukum gantung.
Kesan penentangan terhadap pemimpin ialah mereka telah dibuang negeri seperti Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles.  Haji Abdul Rahman Limbong ke buang ke Makkah.

Ada pemimpin yang menjadi orang buruan seperti Dato Bahaman yang terpaksa berundur ke Kelantan dan menetap di Chieng Mai.

Kesan lain ialah pemimpin kehilangan punca rezeki dan diberi pencen seperti Penghulu Dol Said.

Pentadbiran tradisional terhapus menyebabkan pemimpin terpaksa menerima pentadbiran British.  Pemimpin menjadi boneka seperti Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman di Sungai Ujong.


Kejayaan Malaysia hasil pengamalan semangat nasionalisme
Antara kejayaan Malaysia hasil pengamalan semangat nasionalisme ialah pasukan Malaysia memenangi acara sukan di peringkat antarabangsa. Atlet negara berjaya meraih pingat dalam Sukan Olimpik di London. Contohnya Datuk Lee Chong Wei mendapat pingat perak  dalam sukan badminton dan Pandalela Rinong yang mendapat pingat gangsa dalam acara terjun.
Selain itu, rakyat Malaysia turut mengharumkan nama negara hasil pengamalan semangat nasionalisme. Misalnya, pelayar negara Dato’ Azhar Mansor yang berjaya mengelilingi dunia manakala Dato’ Abdul Malik Mydin berjaya menyeberangi Selat Inggeris. Tidak lupa juga  kejayaan Mohandas dan Magendran mendaki Gunung Everest.
Tambahan pula, pemimpin negara juga mendapat pengiktirafan serta penghormatan dalam pertubuhan antarabangsa. Misalnya, Malaysia telah dipilih sebagai ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjadi tuan rumah Persidangan ASEAN.
            Seterusnya kejayaan Malaysia juga dapat dilihat dengan jelas menerusi kestabilan politik negara. Perpaduan antara kaum dapat dikekalkan hasil pengamalan semangat nasionalisme. Rakyat yang berbilang kaum diberikan kebebasan untuk mengemukakan pandangan masing-masing melalui saluran yang betul.
Di samping itu, imej negara dapat ditingkatkan menerusi pengamalan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat. Walaupun masyarakat terdiri daripada berbilang kaum, masyarakat masih dapat hidup bersama dalam keadaan yang aman harmoni. Contohnya budaya kunjung-mengunjungi semasa sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan sebagainya.
Negara kita juga menikmati kemakmuran ekonomi dan pembangunan sosial hasil pengamalan semangat nasionalisme yang berterusan oleh segenap lapisan masyarakat. Seterusnya, taraf hidup rakyat meningkat serta kebajikan juga terpelihara.
Di samping itu, keamanan negara dapat dikecapi semua pihak. Hasil daripada pengamalan semangat nasionalisme, lahirlah rakyat yang mematuhi undang-undang negara. Natijahnya, kadar jenayah telah berkurangan.
Tambahan pula, kemajuan insfrastruktur yang merupakan hasil pengamalan semangat nasionalisme. Antaranya ialah pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kemajuan sistem pengangkutan (LRT dan MRT), pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC).


Peranan / Usaha / Cara pelajar menghargai perjuangan tokoh
            Usaha pelajar untuk menghargai sumbangan tokoh ialah dengan mengiktiraf pengorbanan dan jasa mereka yang mempertahankan kedaulatan negara. Hal ini dapat dilakukan melalui penganugerahan Bintang Kebesaran dan Pingat Perajurit Negara.
            Selain itu, kita perlulah menganjurkan sambutan Bulan Kemerdekaan. Sambutan kemerdekaan bermula pada 31 Ogos hingga 16 September setiap tahun diraikan secara besar-besaran di seluruh negara. Antara aktiviti yang sesuai dijalankan ialah mengadakan pameran Sejarah, Kuiz Sejarah dan pertandingan drama dan filem Sejarah.
            Di samping itu, kita boleh mengabadikan nama tokoh pada bangunan, jalan dan tempat yang sesuai. Contohnya, Memorial Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Tan Cheng Lock dan seumpamanya.
            Seterusnya, membina memorial, galeri dan tugu peringatan sebagai tanda penghargaan terhadap tokoh nasionalis. Pembinaan memorial akan memaparkan perjuangan tokoh sepanjang hayatnya untuk mempertahankan kedaulatan negara. Contohnya, Galeria Sri Perdana, Kuala Lumpur.
            Tambahan pula, kita juga boleh menerbitkan bahan penulisan yang dapat menyebar luas pengetahuan serta maklumat yang berkaitan dengan tokoh-tokoh nasionalis. Maklumat inilah yang akan meningkatkan pemahaman dan kecintaan rakyat terhadap negara. Misalnya, penghasilan buku autobiografi dan memoir tokoh.


Peranan / Usaha / Cara pelajar menzahirkan semangat nasionalisme
Usaha pelajar untuk menzahirkan semangat nasionalisme adalah dengan menghargai sumbangan tokoh. Kita perlulah menghayati sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu bagi meningkatkan kesedaran generasi muda. Seterusnya, meningkatkan rasa bersyukur dan perasaan cinta kepada negara yang menebal. Di samping itu, kita perlulah mempertahankan perpaduan negara melalui kerjasama antara rakyat yang berbilang kaum. Kerjasama inilah yang akan mengekalkan keamanan negara.
Seterusnya, pelajar perlulah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu sains dan teknologi untuk menghadapi cabaran era globalisasi serta mengangkat martabat negara setanding dengan  negara-negara maju dunia.
Pelajar juga boleh menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara bagi menzahirkan semangat nasionalisme. Antaranya adalah seperti prinsip kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Di samping itu, pelajar perlulah menghomati lambang-lambang negara. Hal ini dapat dilakukan dengan berdiri tegak semasa nyanyian lagu Negaraku. Kita juga boleh mengibarkan Jalur Gemilang semasa sambutan Hari Kebangsaan.
Tambahan pula, pelajar harus melibatkan diri dalam program-program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan NGO. Misalnya, melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, program Rukun Tetangga dan sebagainya.


Menilai pencapaian nasionalisme

Penghayatan  generasi muda hari ini terhadap nasionalisme
Kesan terhadap negara sekiranya rakyat Malaysia tidak memiliki /menghayati /mengamal semangat nasionalisme
            Kesan terhadap negara sekiranya rakyat Malaysia tidak menghayati semangat nasionalisme ialah rakyat kurang bersatu padu antara satu sama lain. Ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih mementingkan diri sendiri, bersifat perkauman dan kenegerian yang melampau. Keadaan ini akan menjurus kepada berlaku rusuhan kaum seperti yang pernah berlaku dalam peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.
            Selain itu, kesannya juga boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara kerana ada dalam rakyat yang tidak taat setia kepada raja dan negara seperti yang berlaku pada peristiwa pencerobohan di Lahad datu, Sabah. Keadaan ini akan menyebabkan imej negara di mata dunia akan terjejas dan dipandang rendah.
     Kesan seterusnya ialah, ekonomi negara juga tidak akan berkembang maju kerana masalah yang berlaku dalam negara seperti pergaduhan antara kaum dan demontrasi jalanan. Bukan itu sahaja, kemakmuran negara juga tergugat serta pembangunan negara akan terbantut.
     Politik negara juga tidak akan stabil dan kucar kacir. Ini akan menyebabkan, pentadbiran negara tidak dapat dilaksanakan dengan lancar. Rakyat juga tidak akan menghormati pemimpin negara dan mula berani mengadakan perhimpunan haram untuk menentang kerajaan.
     Lebih dahsyat lagi,  apabila masyarakat mula hilang jati diri sebagai sebuah bangsa yang berdaulat dan bermaruah apabila minda begitu mudah dijajah dan terpengaruh dengan budaya asing. Remaja juga mula mengamalkan budaya lepak yang merugikan masa depan mereka dan aktiviti merempit semakin berleluasa.


Cabaran dalam usaha mengukuhkan dan memperkasa semangat nasionalisme dalam kalangan generasi muda
     Antara cabaran dalam usaha mengukuhkan dan memperkasakan semangat nasionalisme ialah wujudnya pengaruh laman sosial yang begitu berleluasa masa kini. Contohnya ialah facebook, twitter, bloger dan sebagainya telah banyak mempengaruhi minda remaja masa kini dengan maklumat yang tidak sahih serta mengandungi unsur-unsur negatif.
     Cabaran yang seterusnya ialah masyarakat yang mempunyai minda kelas ketiga iaitu kesedaran untuk menimba ilmu pengetahuan masih berada pada tahap rendah. Malahan, pengetahuan terhadap ilmu kenegaraan juga tidak mendalam.

     Selain itu, ada juga masyarakat yang begitu berbangga dengan menggunakan bahasa campuran dalam pertuturan seharian. Penggunaan bahasa campuran secara berleluasa ini, menyebabkan berlakunya penyalahgunaan bahasa dan istilah. Keadaan ini lebih parah lagi, apabila mereka mula mengabai dan mengenepikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam komunikasi seharian.
     Cabaran seterusnya ialah berlakunya gejala sosial yang teruk seperti keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Kes keruntuhan akhlak seperti pembuangan bayi yang tidak berdosa, kes rogol, terlibat dengan dadah dan sebagainya memperlihatkan longganya pegangan agama dalam kalangan remaja masa kini.
     Di samping itu, ada juga masyarakat yang kurang kesedaran tentang aspek kenegaraan. Mereka menganggap bahawa, keselamatan serta keamanan negara bukan tanggungjawab mereka sebaliknya adalah tanggungjawab pihak yang berkuasa sahaja. Selain itu, mereka juga  mempunyai semangat kekitaan dan patriotisme yang rendah.
     Cabaran lain ialah masyarakat yang suka melakukan vandalisme iaitu dengan merosakkan harta benda awam seperti merosakkan papan tanda, tandas awam, pondok telefon dan sebagainya. Mereka tidak mempunyai rasa kepunyaan dan tidak bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan.
     Cabaran seterusnya ialah masyarakat yang kurang kesedaran tentang tanggungjawab sebagai warganegara serta kurang menghayati rukun negara. Lantaran itu, ada dalam kalangan masyarakat yang kurang melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti yang bersifat patriotisme seperi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ada juga yang lebih suka mengagung-agungkan barangan buatan luar negara berbanding barangan buatan tempatan.


Langkah/cadangan  yang perlu diambil untuk mengukuhkan  semangat nasionalisme
            Antara langkah untuk mengukuhkan semangat nasionalisme ialah dengan mengadakan kempen mencintai negara melalui media massa dan laman sosial.  Ibu bapa menjadi teladan dan memainkan peranan penting untuk memupuk semangat cintakan negara sejak kecil lagi dalam kalangan kanak-kanak.  Selain itu, kempen Bulan Bahasa Kebangsaan dipergiatkan untuk menyemarakkan semangat nasionalisme.  Pemantapan penggunaan bahasa kebangsaan penting untuk memupuk perpaduan kaum dan seterusnya mengukuhkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.  
            Konsep 1Malaysia perlu dilaksanakan untuk memupuk perpaduan kaum agar semangat nasionalisme dapat diperkukuh. Langkah seterusnya ialah mengadakan Pogram Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diberi kepada para murid lepasan SPM.  Di samping itu, kerajaan perlu  mempergiat aktiviti kebudayaan kebangsaan seperti rumah terbuka untuk memupuk jati diri dalam kalangan rakyat. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong yang melibatkan rakyat pelbagai bangsa juga dapat mengukuhkan semangat nasionalisme. Kerajaan juga boleh mewujudkan sekolah wawasan untuk memupuk perpaduan kaum dan melaksanakan integrasi nasional untuk meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa. Aktiviti sukan seperti SUKMA dapat menyemarakkan semangat nasionalisme.
            Semangat nasionalisme juga dapat diperkukuh melalui pendidikan di sekolah.  Misalnya, mata pelajaran Sejarah, serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dapat meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar.  Pihak sekolah juga boleh mengadakan aktiviti ko-akademik yang menjurus kepada pengukuhan semangat nasionalisme dalam kalangan guru dan murid seperti sambutan Bulan Kemerdekaan, Kuiz Sejarah dan pertandingan menulis esei nasionalisme.  Kelab Rukun Negara boleh diwujudkan untuk mengukuhkan semangat nasionalisme dalam kalangan pelajar.  Semangat nasionalisme juga dapat diperkukuh melalui penghayatan dan pengamalan prinsip Rukun Negara.    


Ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi  warganegara yang patriotik
            Ciri-ciri yang perlu ada untuk menjadi warganegara yang patriotik ialah hendaklah mempunyai perasaan cintakan negara. Seseorang yang cintakan negara akan sanggup berkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara. Selain itu ciri warganegara yang patriotik juga merupakan seorang yang berilmu. Ilmu pengetahuan merupakan aset penting bagi warganegara patriotik untuk memajukan serta menaikkan imej negara. Situasi ini dapat dilihat melalui kebijaksanaan Sheikh Muzaffar yang akhirnya berjaya menjadi angkasawan Malaysia yang pertama dan sekaligus memartabatkan nama Malaysia di mata dunia.
            Di samping itu, ciri warganegara patriotik juga ialah seorang yang setia raja dan negara. Warganegara seperti ini bangga dan mendukung warisan sejarah negara  sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Malah ciri lain warga negara patriotik  ialah seseorang itu mengamalkan dan menghayati prinsip Rukun Negara serta mementingkan keamanan negara. Oleh yang demikian ciri tersebut menjadikan seseorang itu lebih mengutamakan kepentingan negara  dan sentiasa menjaga nama baik negara.
            Selain itu, warganegara patriotik hendaklah seorang yang patuh kepada undang-undang negara. Kepatuhan kepada undang-undang menjadikan negara tenteram dan dalam keadaan terkawal. Situasi ini menjadikan negara dalam keadaan harmoni dengan kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum. Malah seseorang yang patriotik juga sentiasa mengelak dari menimbulkan hal-hal  senstitf seperti  agama, kaum dan bahasa. Justeru seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan  perkara negatif seperti menunjuk perasaan atau demonstrasi.
            Warganegara patriotik juga seorang yang sentiasa menghormati pemimpin negara. Oleh yang demikian seseorang itu dapat menyokong setiap program kerajaan untuk kebaikan rakyat dan negara. Selain itu juga warganegara patriotik perlu mempunyai sifat jati diri  yang kukuh dan padu sebagai rakyat Malaysia. Walaupun di mana sahaja warganegara berkhidmat, sokongan jitu tetap diberikan kepada para pemimpin negara. Seterusnya mereka dapat memelihara maruah diri dan bangsa  sama ada di dalam negara ataupun luar negara.
            Ciri warganegara yang patriotik juga ialah seorang yang mempunyai daya saing yang tinggi. Daya saing yang tinggi sangat penting untuk menjadi masyarakat yang pro aktif dan sekaligus berupaya untuk menguasai pelbagai kemahiran sains dan teknologi untuk kemajuan negara.


Iktibar  yang diperoleh  generasi muda hari ini daripada perjuangan tokoh nasionalis tanah air
            Iktibar yang diperoleh generasi muda hari ini daripada perjuangan tokoh nasionalis tanah air ialah semangat juang yang kental. Ini bermaksud generasi muda hari ini perlu bersedia mempertahankan tanah air daripada apa jua bentuk ancaman.
            Generasi muda hari ini juga perlu mempertahankan kedaulatan negara dengan memiliki sikap berani menentang musuh.
            Selain itu, mereka juga harus memiliki jati diri yang tinggi. Ini bermakna generasi muda hari ini tidak harus mudah menerima pengaruh luar kerana bukan semua perkara dari luar itu membawa kebaikan.
            Di samping itu, generasi muda hari ini juga perlu mempunyai sifat tidak mudah putus asa. Malahan mereka perlu memiliki semangat setia negara yang tinggi.
            Malahan generasi muda hari ini perlu sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara di samping sanggup mengetepikan kepentingan diri demi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.


Kesimpulan

a ) Pengetahuan yang diperoleh
            Abad ke-19 dan abad ke-20 mengetengahkan ramai pemimpin tempatan daripada pelbagai latar belakang bangkit menentang penjajah. Perubahan pentadbiran penjajah mendatangkan pelbagai kesulitan kepada penduduk tempatan. Penjajahan British telah meninggalkan pelbagai impak dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.


b)  Nilai-nilai murni dan unsur patriotisme yang diperoleh ke arah kemajuan negara dan bangsa   Malaysia
            Perpaduan amat penting dalam menjayakan sesuatu perubahan dan transformasi. Bangsa yang maju ialah bangsa yang memiliki ketinggian ilmu, kemahiran dan sikap yang positif. Kita hendaklah mencontohi keberanian para pejuang tempatan mempertahankan kedaulatan tanah air.


c) Harapan menjadikan bangsa dan negara yang cemerlang dan terbilang
            Adalah diharapkan agar semua rakyat Malaysia memiliki semangat cinta akan negara supaya dapat bersama-sama menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pemimpin dan rakyat perlu bekerjasama untuk menjayakan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.








6 comments:

  1. Tq for information tuan khairulallizzat..I'so appreciate n fun for make assignment sejarah

    ReplyDelete
  2. Faktor pemangkin nasionalisme

    ReplyDelete
  3. bagus untuk pelajar memahami konsep ini

    ReplyDelete
  4. i like your content! really appreciate it, its helping me with my assignment , thanks a lot

    ReplyDelete
  5. Thanks for your information. Saya dapat rujuk kat sini :)

    ReplyDelete